Kebakaran yang bermula kira-kira pukul 2 pagi itu memusnahkan rumah kayu dua tingkat yang disewa oleh kesemua keluarga tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.42 pagi dan bomba berjaya memadamkan kebakaran itu 30 minit kemudian.

“Tiga penghuni rumah, termasuk tujuh kanak-kanak berjaya keluar dari rumah namun gagal menyelamatkan harta benda masing-masing kerana api marak dengan cepat.

“Kita masih mengesan punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan,” katanya kepada Bernama.

Seorang daripada mangsa, Suwardi Alwi, 29, berkata, beliau bekerja syif malam pada waktu itu dan bergegas pulang ke rumah tetapi mendapati rumahnya telah musnah sama sekali.

“Bagaimanapun, saya rasa amat bernasib baik kerana isteri dan anak lelaki yang berusia tiga tahun tidak berada di Labuan ketika ini.

“Tiada apa yang tinggal. Pakaian kami, barangan elektrik semuanya musnah, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya dan dokumen lain,” ujarnya.

Sementara itu, Osman Lapannabu, 45, berkata, dia baru pulang dari tempat kerja kira-kira pukul 2 pagi dan terkejut melihat rumahnya terbakar.

“Isteri saya dan dua anak kami yang berusia sembilan dan 11 tahun telah keluar dari rumah. Kami hanya berjaya menyelamatkan dokumen-dokumen kami sahaja. Pakaian dan barangan lain semuanya musnah,” katanya. - BERNAMA