Ong Lee Jye, 56, yang trauma akibat kejadian berkenaan memberitahu, dia menyaksikan sendiri kedua-dua rakannya maut dihempap batu besar di tempat kejadian.

Menurutnya, dia berada di sekitar tempat di mana dua mangsa terbabit iaitu mendiang Datin Tai Siew Kim serta mendiang Lim Sai Wah maut dan melihat saat-saat akhir sebelum kedua-dua mereka meninggal dunia.

“Saya saksikan sendiri dua rakan saya yang maut di kawasan air terjun itu.

“Yang pertama, dia dihempap batu besar manakala yang kedua juga dihempap batu tetapi sempat meminta tolong sebelum meninggal,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini hari ini.

Dia merupakan salah seorang daripada 17 rakyat Malaysia dalam kejadian tersebut yang tiba ke tanah air dan disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Lee Jye menambah, ketika kejadian, dia melihat banyak batu bersaiz kecil dan besar jatuh selain mendengar bunyi dentuman kuat seperti bom.

“Ketika nampak batu jatuh, saya lari menyelamatkan diri hingga tak sedar buku lali cedera dan berdarah,” katanya.

Menurutnya, dia kini serik untuk ke Lombok meskipun mengakui keindahan alam di kawasan berkenaan.

Lee Jye bersama 20 rakan sekolahnya sewaktu menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Jementah, Johor telah membuat rombongan pertemuan semula atau ‘reunion’ ke Lombok bermula Khamis lalu.

Gempa berukuran 5.4 skala Ritcher dilaporkan melanda kawasan air terjun tersebut menyebabkan tanah runtuh di kawasan itu Ahad lalu.

Air terjun yang mempunyai ketinggian lebih kurang 45 meter itu merupakan antara pusat pelancongan yang popular di Lombok.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Cheong Kim Leong, 56, berkata, ketika kejadian itu berlaku, dia dan isteri tidak berada di kawasan air terjun berkenaan sebaliknya di restoran berdekatan pantai.

Beliau berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri serta ibu dan bapa saudaranya sedang menjamu selera sebelum merasai gempa di kawasan tersebut.

“Saya tidak ke air terjun kerana isteri saya kurang sihat. Jadi ketika itu, saya sedang makan dan berasa ada pergerakan di tanah. Saya tanya apa berlaku? Orang kata ada gempa. Kami semua terus berlari menyelamatkan diri selepas itu,” katanya.

Ditanya apakah perasaannya kerana tidak berada di kawasan air terjun berkenaan, Kim Leong berkata: “Kalau boleh saya mahu berada di air terjun itu untuk membantu rakan-rakan yang menjadi mangsa.”

Sementara itu, Raja Nushirwan berkata, Wisma Putra sentiasa bersedia untuk menyalurkan bantuan konsular kepada mangsa rakyat Malaysia yang terbabit dengan insiden luar jangka ketika berada di luar negara. - UTUSAN ONLINE