Kilometer 12 arah Jeli tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ismail Che Isa berkata, kemalangan pada pukul 12.05 tengah malam itu membabitkan sebuah treler muatan bahan mentah plastik dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.

Katanya, kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 46 tahun dari arah Kelantan ke Gerik itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan telah bertembung dengan sebuah treler dan menyebabkan kenderaan berat dari arah Gerik ke Jeli itu terbalik dan melintang di tengah jalan.

“Kemalangan itu tidak melibatkan kecederaan ke atas pemandu kereta bersama tiga penumpang lain serta pemandu treler berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ekoran kejadian itu, berlaku kesesakan di kedua-dua arah namun laluan alternatif telah dibuka iaitu membuka lorong di bahu jalan untuk kegunaan kenderaan ringan.

Katanya, tiga anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik ditugaskan membuat kawalan lalu lintas sementara menunggu proses mengalihkan kenderaan tersebut.

“Proses mengalihkan kenderaan berat itu dijangka mengambil sedikit masa kerana kita sedang menunggu kren dari Kuala Kangsar untuk kerja-kerja pengalihan. Bagaimanapun, kita akan cuba mendapatkan jentera dari kawasan sekitar bagi mempercepatkan proses pengalihan,” katanya. - UTUSAN ONLINE