Fauzi Mohamad, 40, (pemandu bot), Muhammad Firdaus Mohd. Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd. Rahim, 22, dikatakan masih belum tiba di pulau berkenaan selepas bertolak dari jeti Kuala Dungun kira-kira jam 12.30 tengahari.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi petang ini mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan untuk mengambil pelancong di Pulau Tenggol dan mereka sepatutnya tiba di pulau peranginan itu kira-kira pukul 1.30 petang.

Bagaimanapun jelasnya, pihak pengurusan resort di pulau berkenaan yang mendapati tiga mangsa terbabit masih tidak kelihatan lalu bertindak menghubungi mereka namun gagal.

“Ekoran itu, pihak pengurusan kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun kira-kira pukul 4.petang tadi, “ katanya di sini petang ini.

Menurutnya, polis turut meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Marin Kuantan untuk tindakan lanjut.

“Kita telah buka pusat kawalan di IPD ini bagi memantau sebarang maklumat dan perkembangan operasi dalam usaha mengesan bot dan ketiga-tiga mangsa tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE