Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 pagi, mangsa yang maut Che Azmi Che Hamzah,48, dan isterinya, Nor Hayati Mohamed, 43 beralamat dari Taman Mesra di sini manakala identiti seorang lagi mangsa maut masih belum diperolehi.

Sementara itu, 12 mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Gua Musang, di sini. Mereka ialah penumpang kereta jenis Avanza iaitu Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15; Mohamad Afiz Zulhilmi Che Azmi, 13 dan Nur Damia Sofea Che Azmi, 7.

Mangsa yang turut cedera menaiki kenderaan van jenis Toyota Hiace ialah Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39; Khaulah Zulfaizan,11; Ahmad Zaid Zulfaizan, 1 tahun; Siti Fatimah Zulfaizan, 15; Muhammad Saad Zulfaizan, 3; Masyitah Zulfaizan, 14; Sakinah Zulfaizan,5; Mawaddah Zulfaizan, 7 dan Solehah Zulfaizan, 9.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian kemalangan itu berlaku ketika kenderaan Toyota Avanza dinaiki pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka dalam perjalanan dari Kuala Lipis menuju ke Gua Musang.

Katanya, setibanya di lokasi kawasan selekoh, kenderaan dinaiki lima sekeluarga itu hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah van Toyota Hiace dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, pemandu van dan penumpang kereta Toyota Avanza, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Toyota Avanza pula meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Gua Musang," katanya.

Tambah Mohd. Taufik, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam dua kenderaan itu.

“Mayat mangsa kemalangan itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE