Bagaikan satu tradisi, baginda bersama anakanda meluangkan masa bersama-sama mangsa banjir menyiapkan hidangan sama ada untuk makan tengah hari atau malam.

Kali ini, Tunku Azizah berke­nan melawat serta melakukan acara ‘wajib’ itu dengan memasak untuk 376 mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan di sini hari ini.

Dalam kunjungan itu, kesemua mangsa banjir daripada 97 keluarga yang dipindahkan sejak pukul 2 pagi semalam ke pusat pemindahan berkenaan berpeluang me­rasai air tangan baginda.

Tunku Azizah ketika ditemui berkata, hidangan tengah hari tersebut dimasak dengan cara yang sama ketika menyediakan juadah untuk keluarga.

“Saya seronok bagi orang makan dan saya masak dengan cukup ramuan seperti mana saya masak untuk keluarga,” titah baginda.

Semua mangsa terlibat merupakan penduduk dari Kampung Pandan, Desa Pandan 2, Kampung Chendering, Perumahan Awam Pandan, Kampung Lubuk Puyu, Kampung Pandan Indah serta Kampung Permatang Badak.

Sementara itu, bayi berusia 51 hari, Saidah Safwanah Mohd. Rozi merupakan antara mangsa banjir yang mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan SMK Pandan di sini.

Ibunya, Mimi Maria Mat Husin, 35, ketika ditemui berkata, anak kelimanya itu berada dalam keadaan sihat meskipun mereka sekeluarga terpaksa berhujan ketika dipindahkan dari Desa Pandan 2 ke SMK Pandan semalam.

“Pagi semalam, air sudah naik melebihi paras lutut. Saya bersama suami, Mohd. Rozi Md. Said, 37, cepat-cepat menguruskan anak-anak untuk berpindah.

“Alhamdulilah, kami sekeluarga berada dalam keadaan selamat sejak dipindahkan ke sini,” ujar surirumah tersebut.

Sementara itu, seorang warga emas, Zaiton @ Kembang Abdullah, 72, berkata, mereka tujuh sekeluarga dari Kampung Cende­ring diarahkan berpindah selepas air naik sehingga paras lutut.

“Selepas pindah ke sini, kami berasa sedikit lega kerana semua barang keperluan sudah disediakan lebih awal di pusat pemindahan,” katanya.