Itu ungkapan pertama daripada mulut, Datuk Khamijas Ngainan, iaitu bapa saudara Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 15, dan adiknya Nur Ain Sumayyah,13, yang rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Endah, Banting, awal pagi tadi.

Khamijas yang menjadi saksi kejadian dan berusaha menyelamatkan mangsa berkata, dia hanya mampu masuk di bahagian dapur rumah mangsa sahaja kerana api sudah terlalu marak.

“Saya dan isteri sampai ke rumah kira-kira pukul 2.30 pagi. Kami baru pulang dari berniaga di restoran kami di Kanchong Darat tetapi masa itu belum berlaku apa-apa lagi.

“Namun apabila saya masuk saja dalam rumah, saya terlihat api sudah menjulang tinggi, saya dan isteri terus berlari ke rumah adik dan menjerit kepada anaknya supaya keluar daripada rumah.

“Ketika itu saya dapat mendengar dengan jerit arwah meminta tolong tetapi sebaik saya berjaya memecah pintu dapur, suara mereka dah hilang dan saya pun dah tidak boleh masuk ke bahagian bilik kerana api terlalu marak,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Banting di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.48 pagi itu, Nur Salsabila dan Nur Ain Sumayyah rentung 100 peratus dan mayatnya dijangka dikebumikan malam ini selepas proses bedah siasat selesai. - UTUSAN ONLINE