Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, mangsa, Malcolm Powell Anak Alphonsus, 14, dikatakan telah tergelincir dari jambatan di tebing sungai.

Mangsa dijumpai ahli keluarganya selepas lebih 30 minit daripada kejadian, yang kemudian membawanya ke Klinik Kesihatan Julau.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, panggilan kejadian itu diterima pukul 2.31 petang dan satu pasukan terdiri daripada enam anggota telah digerakkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi kejadian, penduduk setempat memaklumkan mangsa telah dijumpai dan dibawa oleh ahli keluarga ke klinik.

"Mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan di telinga dan mulut, telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan," katanya. - BERNAMA