Dalam kejadian pada pukul 3.10 petang itu, remaja terbabit yang parah meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala wanita berusia 33 tahun itu maut di tempat kejadian.

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan suami kepada wanita berkenaan yang juga memandu kereta jenis Perodua Viva parah dan kini dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, ketika kejadian, kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Cameron Highlands.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan namun hilang kawalan lalu melanggar sebuah lori dari arah bertentangan.

“Pelanggaran itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta berkenaan cedera parah namun mangsa wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian.

“Dua lagi lelaki yang turut parah dihantar ke HRPB untuk rawatan kecemasan namun remaja berusia 19 tahun itu meninggal dunia semasa dirawat di hospital berkenaan” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam kejadian itu, pemandu lori berusia 27 tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. - UTUSAN ONLINE