Wisma Putra dalam satu ke­nyataan berkata, pihaknya me­lalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa keenam-enam warganegara Malaysia itu.

Detik News yang memetik kenyataan jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho me­laporkan, 22 lagi rakyat Malaysia diselamatkan selain 14 pelancong dari negara lain.

Terdahulu, rakyat Malaysia yang terkorban adalah Datin Tai Siew Kim, 56, yang bertugas sebagai Timbalan Eksekutif Ketua Pe­ngarang Sin Chew Daily, manakala seorang lagi belum dikenal pasti.

“Gegaran akibat gempa bumi tersebut turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali. Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan” jelas Wisma Putra.

Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.

Menurut kenyataan itu, pihak kementerian melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap mang­sa dan keluarga mereka ekoran daripada insiden tersebut.

“Kita juga menyarankan supaya warganegara Malaysia yang terjejas untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian (6221) 522 4947, +62 813 8081 3036 atau 03-8887 4570 (Wisma Putra).

“Kementerian menasihatkan supaya warganegara Malaysia melaporkan diri de­ngan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sementara itu, agensi berita Antara melaporkan, daripada 13 mangsa yang ce­dera, 12 merupakan warga Malaysia.

Seorang lagi yang dirawat di Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Bayan, adalah warga Lombok, Gurut Antariksa, 17.

Wartawan Antara di Puskesmas Bayan melaporkan identiti 12 mangsa warga Malaysia iaitu:

* Tan Cing Chuan (L), 62;

* Lim Sai wah (L), 56;

* Pam Kiam Foo (P), 56;

* Ong Lee Jye (P), 56;

* Wong Siew Lin (P), 56;

* How Geok Lan (P), 56;

* Shen Pek Chan (P), 56;

* Phua Poh Cuat (P), 56;

* Lee Chai Bang (L), 57;

* Lim Ching Kau (L), 62;

* Phan Tin Fan (L), 56;

* Taw Siew Kim (P), 56.

Seorang lagi yang maut, Tomi, 14, penduduk Desa Senaru.