Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya telah meminta pihak berkuasa agar segera menyiasat dalang di belakang laman berkenaan yang dilihat telah memburuk-burukkan nama Puteri UMNO sekali gus cuba menyembunyikan perbuatan jahat mereka.

“Saya sudah merujuk nama pengendali laman berkenaan dan mendapati tidak mempunyai rekod di dalam senarai ahli Puteri UMNO Gombak seperti yang didakwa.

“Malah, wajah dipaparkan yang mendakwa sebagai pengendali laman itu turut tidak dicam ahli Puteri UMNO Gombak sendiri. Saya memberi amaran kepada mana-mana ahli FMC yang terlibat di dalam insiden Sabtu lalu agar segera tampil dan memberi kerjasama demi menyelesaikan isu ini.

“Beberapa dakwaan yang mengatakan mereka dilindungi orang dalam juga seharusnya disiasat selain diambil tindakan sewajarnya,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, tindakan mengheret nama Puteri UMNO dilihat sebagai usaha pihak tidak bertanggungjawab itu menyelamatkan diri.

Katanya, tindakan mereka yang enggan memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan juga hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu tersebut kerana mahukan keadilan serta pembelaan terhadap keluarga mangsa.

Katanya, kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga itu merupakan kejadian yang menyayat hati, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat.