Mangsa, Muhammad Idham Baharudin, 20, bersama teman wanitanya, Anismalina Jamaludin, 20, pulang ke rumah pada Sabtu lalu sebelum kedua-duanya terkorban dalam nahas melibatkan empat kenderaan di lebuh raya berkenaan.

Menurut bapa Muhammad Idham, Baharudin Mohd. Isa, 59, anaknya bekerja sebagai posmen di Banting, Selangor sejak lima bulan lalu, manakala Anismalina menetap di kawasan yang sama.

"Mereka balik pada Sabtu lalu dan kemudian menaiki motosikal untuk pulang ke Banting pada pukul 8.15 malam tadi.

"Kira-kira pukul 9.30 malam, Anismalina menghubungi telefon bimbit saya dan memberitahu mereka mengalami kecederaan kerana motosikal terbabas.

"Dia beritahu anak lelaki saya sakit, berdarah dan dia pula cedera sehingga nampak tulang. Pada awalnya saya sangka mereka hanya cedera dan bergegas ke lokasi kejadian," katanya ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini hari ini.

Baharudin berkata, semasa dalam perjalanan ke lokasi kejadian, dia beberapa kali memberhentikan motosikalnya di bahu jalan untuk menghubungi Muhammad Idham.

Bagaimanapun, panggilan terakhirnya dijawab oleh seorang lelaki tidak dikenali memaklumkan anak lelakinya dan rakan wanitanya telah meninggal dunia.

Katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan kira-kira pukul 10.15 malam, dia mendapati mayat kedua-duanya telah ditutup dengan plastik, namun reda dengan kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam tadi, tiga individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler membawa tong gas, lori simen dan dua motosikal di Kilometer 269.9 Lebuh Raya PLUS arah utara.

Mereka yang meninggal dunia ialah penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha Y15 serta pemandu lori simen. - UTUSAN ONLINE