Mereka yang maut ialah pesara polis, Ibrahim Osman, 58, yang cedera parah pada kepala manakala cucunya, Fahrin Haris Abdullah, 5, tercampak keluar dari

kereta.

Kedua-duanya maut di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 12 malam apabila kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah treler membawa muatan tong gas.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu dari arah Gerik menghala ke Jeli manakala treler dari arah bertentangan.

Menurutnya, kereta mangsa dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan ketika melalui selekoh sebelum bertembung dengan treler berkenaan.

“Hujan lebat dan jalan basah dipercayai menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Gerik untuk bedah siasat.

"Pemandu treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. - UTUSAN ONLINE