Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam kenyataan, Ho Soon Lee, 41, seorang lelaki tempatan sedang melakukan selaman rekreasi di lokasi 4.5 batu nautika barat laut Miri ketika kejadian berlaku dan memakai peralatan menyelam yang lengkap.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada pukul 9.40 malam tadi setelah Maritim Malaysia menerima laporan mengenai kehilangan penyelam itu pukul 9.35 malam dan keluasan sektor pencarian adalah 79 batu nautika persegi.

"Bot peronda milik Maritim, KM Stapa telah bergerak ke lokasi kejadian pada pukul 6.45 pagi ini. Selain pasukan selaman Maritim Malaysia, pihak kami turut memohon bantuan pasukan selaman Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya. - BERNAMA