Dalam kejadian pukul 10.50 pagi, Muhammad Afizi Mat Yudin, 24, beralamat dari Rawang, Selangor tercampak 5.3 meter dalam kemalangan itu sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Su Kooi Tim, 57, dari Wisma Sri Galas di sini tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha R25 dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Lipis

Katanya, setibanya di kawasan selekoh lokasi kejadian mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ditunggangnya sehingga memasuki lorong laluan kanan.

“Motosikal mangsa bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa kemudiannya melambung sejauh 5.3 meter dan cedera parah di kepala dan badan lalu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan ingin pulang semula ke tempat kerja selepas pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya petang ini untuk dikebumikan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE