Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa, R. Anandan, 28, menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Lukut menghala Sepang.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta Proton Waja dari arah bertentangan telah memasuki laluan motosikal mangsa dan merempuhnya.

“Lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta Proton Waja tiada di lokasi kejadian disyaki telah melarikan diri. Kenderaan itu telah ditinggalkan di tepi kedai makan di kawasan Ambang Kota,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, semakan mendapati kereta Proton Waja itu didaftarkan atas nama Ting Ting Ming yang beralamat di No. 66, Kampung Baru, Sepang di Selangor.

“Usaha untuk mengesan pemandu kereta itu sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Katanya, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Raja Nor Hafizah Raja Arifin di talian 013-5388403. - UTUSAN ONLINE