Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 4.07 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati ketika kejadian pemandu kereta pelbagai guna (MPV) sedang memandu dari Kajang ke Semenyih dan apabila tiba di Jalan Kajang Perdana, pemandu MPV melihat sebuah kereta datang dari arah bertentangan seterusnya membuat pusingan U untuk memasuki laluan ke Semenyih.

“Pemandu MPV memperlahankan kenderaan untuk memberi laluan kepada kereta tersebut namun mangsa yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar bucu kiri kereta MPV.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa jatuh ke lorong kiri sebelum dilanggar oleh sebuah lori yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Ahmad Dzaffir, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik Hospital Kajang.

“Pemandu MPV telah membuat laporan kemalangan dan kita sedang mengesan pemandu lori yang masih belum tampil membuat laporan.

“Selain itu, kita juga memohon orang awam yang menyaksikan kemalangan tersebut atau mempunyai maklumat mengenai lori terlibat menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Somasureshan di talian 016-4915193 untuk menyalurkan maklumat,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE