Hujan lebat di kawasan hulu sejak kelmarin menyebabkan jambatan besi itu sekali lagi ditenggelami air sungai, sekali gus menyebabkan hampir 2,000 penduduk di sekitarnya terputus hubungan.

Seorang penduduk, Abdul Basyik Abdul Aziz, 36, memberitahu, jambatan merentangi Sungai Lebir itu tenggelam sekurang-kurangnya empat kali setahun iaitu sekitar Januari serta antara Oktober sehingga Disember.

“Selain menghubungkan Kampung Pemberian dengan Kampung Manjor, jambatan ini merupakan laluan utama penduduk Kampung Pemberian yang ingin ke bandar untuk urusan harian termasuk ke sekolah.

“Apabila paras air naik sehingga menenggelamkan jambatan, tidak ada kenderaan boleh melaluinya kerana arus sungai yang selebar hampir 100 meter ini amat kuat.

“Penduduk tidak ada pilihan kecuali menggunakan bot tambang untuk menyeberangi sungai. Dari situ kami akan menumpang kereta orang lain atau menaiki bas untuk ke bandar,” katanya.

Seorang pemilik kedai runcit, Ali Azran Mat Yasin, 39, pula berkata, apabila terputus hubungan, penduduk yang bekerja di luar serta pelajar sekolah paling teruk terjejas kerana mereka berulang-alik menggunakan jambatan itu.

“Penduduk Kampung Pemberian sudah lali dengan keadaan ini, cuma kami terkilan kerana tidak ada usaha untuk membuat jambatan yang lebih tinggi meskipun sudah sekian lama kami berdepan masalah sama.

“Setakat ini ada dua bot tambang yang menyediakan perkhidmatan menyeberangi Sungai Lebir setiap kali musim tengkujuh dengan caj RM1 setiap seorang,” katanya.

Menurutnya, terdapat laluan alternatif menghubungkan Kampung Pemberian dengan jalan utama, namun laluan itu agak jauh kerana mengambil masa sehingga setengah jam lebih panjang.