Antara kampung terlibat ialah Bendang Pak Yong, Naga Ibu, Kuala Jambu, Jejulok, Kubang Sawa, Telok Jering, Pohon Nibong dan beberapa buah lagi kampung di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bendang Pak Yong, Ismail Awang Senik berkata, masalah tersebut sudah berlarutan lebih dua tahun lalu menyebabkan penduduk di sini berdepan banjir termenung akibat air lambat surut.

Menurutnya, pada asalnya pintu air itu dibina untuk mengelakkan air laut dari Kuala Takbai, Thailand masuk ke kawasan sawah padi di kampung sekitar apabila berlakunya fenomena air pasang.

“Tetapi apabila berlaku banjir, air tidak dapat keluar dan keadaan tersebut menyebabkan penduduk di sini berdepan dengan masalah banjir termenung.

“Jadi saya merayu kepada pihak berkenaan supaya segera membuka laluan air yang sudah tersekat sejak beberapa tahun lalu bagi mengelakkan masalah tersebut daripada terus berulang,” katanya.

Seorang penduduk, Ariffin Awang Chik memberitahu, sekiranya pintu air tersebut dibuka, masalah banjir termenung yang melanda kawasan berkenaan mungkin dapat dikurangkan pada masa hadapan.

“Pada saya, itulah jalan penyelesaian terbaik boleh diambil oleh pihak berkenaan dalam mengurangkan risiko banjir termenung,” katanya.

Sementara itu, Kassim Omar mahu pihak bertanggungjawab turun padang untuk menyelami dan melihat secara lebih dekat masalah yang dihadapi oleh penduduk di sini.

Katanya, secara tidak langsung mereka mungkin boleh memikirkan jalan terbaik untuk mengatasi permasalahan ini.

“Sampai bila kami penduduk di sini terpaksa menanggung masalah banjir termenung yang setiap tahun membawa kerugian terutama kepada para petani,” ujarnya.