Tinjauan Utusan Online di kawasan pekan kecil berhampiran sungai itu mendapati, hanya empat gerai dibuka kerana peniaga bimbang dengan keadaan udara yang tercemar.

Seorang peniaga makanan dan minuman, Basri Lamat, 51, berkata, sejak beberapa hari ini pelanggan mereka merosot kerana orang ramai sudah jarang keluar rumah.

PENJAJA kecil, Basri Lamat
PENJAJA kecil, Basri Lamat 

“Ini ditambah lagi penduduk di sekitar kawasan Kota Masai ada yang mula meninggalkan rumah masing-masing untuk sementara kerana bimbang pencemaran udara ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Dia yang tinggal di Taman Pasir Putih berkata, pencemaran toksik memberi kesan terhadap rutin harian penduduk dan peniaga di sini termasuk aktiviti ekonomi mereka.

Basri berkata, udara di kawasan rumahnya berbau seperti gam perangkap tikus pada Khamis lalu yang pada mulanya disangka ada sesuatu terbakar dalam rumah pada sebelah malamnya.

“Apabila buka pintu pada waktu pagi bau seakan hangit menerjah masuk dalam rumah. Selepas itu baru saya tahu ada pihak buang sisa toksik di Sungai Kim Kim pada malam hari.

“Pada hari pertama dan kedua kejadian bau busuk sangat kuat di Taman Pasir Putih. Pada hari keempat selepas hujan bau tersebut semakin kuat dan kami terpaksa menutup mulut,” katanya.

Jarak antara Taman Pasir Putih dengan Sungai Kim Kim hanya kira-kira 100 meter namun masih ramai penduduk yang tidak berpindah untuk sementara waktu. - UTUSAN ONLINE