Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, kelima-limanya kini masih dirawat di wad kecemasan Zon Merah iaitu zon kritikal di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

Beliau memberitahu, seramai 28 mangsa dikenal pasti menjadi mangsa pencemaran gas kimia tersebut dengan 20 orang dihantar ke HSI, enam ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang manakala dua lagi di Hospital Penawar.

“Daripada jumlah mangsa yang dihantar ke HSI, lima kita kenal pasti masih dirawat di wad kecemasan Zon Merah iaitu zon kritikal manakala bakinya dirawat di Zon Kuning,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat operasi di luar SMK Pasir Puteh sebentar tadi.

Difahamkan kesemua mangsa terdiri daripada 24 pelajar dan empat pekerja kantin sekolah, berusia antara tujuh hingga 40 tahun.

Terdahulu ,seramai 1,400 pelajar dan guru dua sekolah tersebut diarahkan pulang ke rumah selepas seorang pelajar didapati pengsan manakaka beberapa yang lain muntah-muntah.

Berikutan itu seramai 17 anggota termasuk daripada unit hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dikejarkan ke tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE