Dalam kemalangan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Mujiantoro, 45, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 12.45 tengah hari.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati berlaku runtuhan batu di kawasan kuari.

“Hasil maklumat dan pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat seorang mangsa tertimbus bersama sebuah jentolak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, sebuah jentolak lain milik syarikat pengusaha kuari tersebut kemudian digunakan untuk mengalihkan sisa runtuhan sebelum mayat mangsa berjaya dibawa keluar.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada pukul 4.09 petang ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE