Muhammad Fikri Kamaruzaman, 20, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya, bagaimanapun 43 orang pelajar, seorang pensyarah serta pemandu bas kolej universiti berkenaan tidak mengalami kecederaan.

"Ketika kejadian mangsa memandu MPV itu berseorangan dari arah Kuala Linggi menghala ke Kuala Sungai Baru.

"Sebaik sahaja tiba di selekoh Jalan Tanjung Dahan, kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan bas berkenaan,' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasan berkata, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 10. 30 pagi semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, mangsa seorang anak yang gigih menjaga adiknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) manakala ibunya baru seminggu pulang ke tanah air selepas mengerjakan ibadat haji. - UTUSAN ONLINE