Mayat itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas bot dinaiki bersama dua lelaki lain dipercayai karam di pulau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden Roslan Leman berkata, mayat Farouk Arlan Ahmad Sabri, 29, ditemukan pada pukul 11.30 malam oleh pasukan sukarelawan bomba dan penduduk kampung.

“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 450 meter dari lokasi mayat mangsa pertama yang ditemukan semalam.

“Usaha pencarian untuk mangsa ketiga masih dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan lapor Utusan Borneo hari ini.

Sebelum ini Isnin lalu, tiga pemancing lelaki dilaporkan hilang apabila gagal dihubungi sejak pukul 4 petang selepas keluar memancing pada pukul 5 pagi.

Mayat mangsa pertama dikenali sebagai Yeu Chee Ting, 30, ditemukan orang kampung di Sungai Labi-Labi pada pukul 8.35 pagi semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan kira-kira 40 anggota pelbagai agensi dan penduduk kampung. – UTUSAN ONLINE