Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang, mangsa, Amirul Hakim Ismail, 16, maut serta-merta di tempat kejadian akibat mengalami pendarahan serius.

Seorang lagi penunggang motosikal warga Myanmar berusia 28 tahun yang terbabit dalam nahas sama pula cedera di kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari Jalan Long Yunus menghala ke Jalan Taman Maju.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi nahas, Perodua Alza keluar dari simpang tiga Jalan Mail Lundang dan mahu membelok ke kanan namun bergesel dengan motosikal mangsa serta motosikal ditunggang warga Myanmar yang berada di belakang mangsa.

"Akibat pelanggaran itu dua penunggang terbabit memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel pula dengan Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.

"Hasil siasatan awal dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Alza kerana keluar dari simpang secara tiba-tiba," katanya," ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE