Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam nahas pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Fahmi Ahmad, 23, dari Kampung Pokok Tai, Jalan Jenun, Pendang meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kereta dipandu oleh mangsa remuk di bahagian hadapan dengan mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian muka serta kepala.

“Mayat mangsa dikeluarkan oleh anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Amanjaya dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, pemandu lori tersebut, T. Kamusamy, 50, dari Sungai Petani pula hanya cedera ringan di bahagian kepala dan kaki sahaja.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta itu dari arah Bukit Selambau manakala lori pula dari arah Sungai Lalang.

“Apabila sampai di satu selekoh, pemandu kereta itu dipercayai telah masuk ke laluan lori lalu berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan tersebut,” katanya lagi.

Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu di Kulim, seorang pelajar di Perda Tech Nibong Tebal daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang maut setelah motosikal Yamaha RXZ yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dengan sebuah teksi di Kilometer 20.6 Lebuh Raya BKE Butterworth-Kulim di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Yusuf Shaari berkata, mangsa, Muhammad Nazri Mat Khamis, 20, dari Taman Sutera Indah, Lunas di sini meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 3.18 petang.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua kenderaan itu datang dari arah Kulim menghala ke Butterworth.

“Penunggang motosikal pula dikatakan gagal mengawal kenderaannya dan terus melanggar bahagian belakang teksi tersebut. - UTUSAN ONLINE