Dalam nahas kira-kira pukul 9 malam itu, Mohd. Shamsul Iftitah Husnan, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang bekerja di Felcra Kampung Wa, Dungun dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Bandar Seri Bandi dekat sini.

Beliau memberitahu, mangsa sering menggunakan laluan tersebut untuk pulang ke kampungnya semasa cuti hujung minggu dan ketika kejadian mangsa menunggang bersendirian.

“Namun setiba di tempat kejadian, motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangi mangsa gagal mengelak sebuah kereta jenis Proton Wira yang di letakkan di tepi lebuh raya lalu melanggar belakang kenderaan itu.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa dikatakan tercampak beberapa meter di atas jalan dan dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya.

Mohd. Haki berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1 ) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE