PAIMAN ADAM

Demikian kata Pai­man Adam, 75, ketika menceritakan detik cemas selepas rumahnya yang didiami bersama isteri, Maniah Husin, 75, dilanda banjir hingga melebihi sa­tu meter Isnin lalu.

Menurutnya, kawa­san rumah mereka mula dinaiki air sejak awal pagi ekoran hujan tanpa henti sebelum paras air naik secara mendadak.

“Kira-kira pukul 11 pagi air dah naik hingga mencecah lantai rumah. Pada masa itu, kami tidak tahu nak buat apa memandang­kan rumah kami terletak agak jauh dari rumah jiran.

“Nasib baik ada seorang pemuda kampung melintasi rumah kami sewaktu meredah banjir dan meminta kami untuk terus berada di rumah bagi menunggu pasukan menyelamat tiba.

Bagaimana­pun, pukul 5.30 petang baru seorang penduduk mem­bawa bot tiba dan ketika itu air sudah masuk ke dalam rumah hingga ke paras lutut,” katanya ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Agama Kampung Jawa, di sini hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang melawat pusat pemindahan berkenaan turut meluangkan masa beramah mesra de­nga mangsa banjir.

Paiman bersyukur kerana bantuan menyelamat akhirnya tiba di rumahnya meskipun terpaksa menunggu lama.

“Kalau nak pergi sendiri memang saya dan isteri tak larat kerana kami berdua sudah uzur dan tidak boleh berjalan jauh,” katanya.