Adik mangsa, Ho Yok Kam, 69, berkata abangnya Ho Yok Fun, 74, dan isterinya Chow Kim Mui, 70, hanya tinggal berdua di situ kerana mengusahakan kedai makan.

"Semua anak mereka bekerja di luar. Saya tahu majlis perkahwinan anak bongsu mereka yang bekerja di Singapura, akan diadakan minggu hadapan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yok Kam memberitahu, empat anak mangsa masing-masing terdiri daripada dua perempuan dan lelaki sudah bergegas pulang ke Sungai Lembing untuk membantu pihak berkuasa melakukan ujian deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti mayat.

“Saya menerima berita kebakaran itu sekitar pukul 5 pagi ini dan terus bergegas ke Sungai Lembing dari rumahnya di bandar Kuantanyang mengambil masa perjalanan selama hampir sejam.

"Semasa sampai saya lihat bomba sudah memadamkan api... kemudian ada orang beritahu abang dan kakak ipar saya berkemungkinan terperangkap dalam rumah," jelasnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, rumah yang didiami pasangan suami isteri itu dipercayai menjadi punca kebakaran yang keseluruhannya melibatkan 32 bangunan terdiri daripada 20 rumah kedai, 11 unit rumah dan sebuah perpustakaan.

Bomba mengesahkan satu mayat wanita dalam keadaan rentung ditemukan kira-kira pukul 6 pagi ini berdasarkan perhiasan yang dipakai manakala operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan.

Mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini. - BERNAMA