Penolong Tok Batin Kampung Kolam Air Pantai, Bali Akau, 48, berkata, dia dan 14 Orang Asli lain termasuk tiga anak lelakinya mula mencari remaja perempuan itu selepas dimaklumkan pekerja resort berkenaan.

"Kami bergerak memasuki kawasan hutan selepas pekerja di resort tersebut meminta bantuan kami kira-kira pukul 8.30 pagi pada Ahad lalu, iaitu sebelum pihak polis tiba.

"Kami mencari remaja itu di kawasan hutan sehingga pukul 3 pagi, namun gagal mendapat sebarang petunjuk lokasinya tetapi kami masih berusaha mencarinya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bali berkata, dia berasa hairan kerana gagal mendapat sebarang petunjuk lokasi gadis itu memandangkan mereka sudah biasa dengan kawasan hutan tersebut.

"Sepatutnya senang untuk kami mencari gadis itu. Selama ini kami mengambil upah membawa pengunjung yang mahu masuk ke kawasan hutan ini dan sudah biasa dengan persekitarannya," katanya.

Menurutnya, mereka berasakan seolah-olah gadis warga Ireland itu tiada dalam hutan tersebut, malah keadaan hutan yang mempunyai banyak curam dan pasti menyukarkan gadis itu bergerak terlalu jauh.

Katanya, dia bersimpati melihat ibu bapa remaja itu yang menangis semasa berjumpa dengannya di resort tersebut tiga hari lalu dan mengharapkan bantuan mereka mencari remaja berkenaan. - UTUSAN ONLINE