Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13 kematian direkodkan dalam tempoh 13 hari Op Selamat diadakan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kemalangan di Terengganu secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan sebanyak 70 kes daripada 570 kes pada tahun lalu kepada 640 kes dan keadaan itu dipercayai susulan pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Tetapi kita bersyukur kerana dapat mengurangkan hampir separuh jumlah kemalangan maut dan menyeru pengguna jalan raya agar meneruskan pemanduan berhemah di samping berharap baki sehari lagi esok untuk kita mengekalkan prestasi.

“Kebanyakan kemalangan melibatkan jalan Persekutuan dan negeri dengan tiada sebarang kematian berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pada Op Selamat tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Allaudeen memberitahu, jalan Persekutuan merekodkan sebanyak 291 kes kemalangan di samping 146 kes di jalan negeri, jalan bandaran (131 kes), lain-lain jalan (39 kes) dan lebuh raya (33 kes).

Katanya, daerah Kuala Terengganu mendahului jumlah tertinggi kemalangan dengan 205 kes manakala Kemaman (101 kes), Besut (89 kes), Dungun (76 kes), Setiu (64 kes), Marang (56 kes) dan Hulu Terengganu (49 kes)

Baru-baru ini polis Terengganu mengenal pasti sebanyak 24 lokasi kerap berlaku kemalangan di negeri ini sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Op Selamat 15/2019 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula pada 29 Mei lalu sehingga esok. - UTUSAN ONLINE