Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 6.25 petang itu turut membabitkan sebuah Proton Waja dan Perodua Axia.

Katanya, pemandu lori berusia 45 tahun dan dua pemandu kereta lain masing-masing seorang lelaki berusia 27 dan wanita berusia 54 tahun tidak cedera.

“Kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu dari arah Chemor menghala ke Sungai Siput itu melanggar bahagian belakang kenderaan polis yang sedang berhenti di lampu isyarat.

“Rempuhan tersebut menyebabkan MPV jenis Proron Inspira itu terseret sehingga melanggar tiang lampu isyarat sebelum terlambung ke atas Proton Waja yang juga sedang berhenti di lokasi sama,” katanya.

Mohd. Ali memberitahu, tiang lampu isyarat yang patah akibat dirempuh itu kemudiannya jatuh terkena pada bahagian hadapan Perodua Axia.

Ujar beliau, sampel darah dan air kencing pemandu lori berkenaan telah diambil untuk dianalisis bagi tindakan lanjut.

“Kesemua kenderaan yang terlibat akan dihantar ke Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) untuk pemeriksaan dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE