Dalam kejadian kira-kira pukul 7.43 malam itu, kilat dipercayai menyambar lampu penanda menara tersebut lalu menyebabkan berlakunya percikan api dan mencetuskan kebakaran di bahagian berkenaan.

Ketua Zon 2 , Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azman Alias berkata, ketika kejadian tiada pekerja yang berada di lokasi itu kerana kesemua mereka sedang berehat sebelum memulakan syif seterusnya.

Katanya, bomba dengan kekuatan 30 anggota termasuk enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Kertih dan Kuala Terengganu bersama empat jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 8.40 malam.

“Kita turut mendapat bantuan daripada pasukan pemadaman CEFS dari Petronas bersama kekuatan tiga buah jentera yang membantu dalam operasi pemadaman kebakaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Azman, pihaknya berdepan kesukaran dalam operasi pemadaman itu berikutan keadaan angin kencang dan laluan ke lokasi yang sempit di samping

masalah pancutan air ke kawasan kebakaran yang setinggi 50 meter sekali gus melambatkan proses penyejukkan untuk menurunkan tekanan di dalam menara tersebut.

Katanya, bomba terpaksa menggunakan dron sebagai bantuan untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan kebakaran di menara itu.

“Kita melakukan pemadaman pencegahan dengan menggunakan teknik pancutan buih menggunakan jentera ‘skyfolder’ bagi mengelakkan kebakaran menjadi semakin teruk.

“Paling dibimbangkan ialah serpihan logam yang jatuh dari menara yang boleh membahayakan anggota yang melakukan pemadaman, namun kita bersyukur kerana tiada sebarang insiden buruk berlaku,” katanya.

Azman berkata, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.40 pagi tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Petronas dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pagi tadi mengesahkan kejadian tersebut dan akan melakukan siasatan terperinci mengenainya.

Katanya, kejadian tersebut tidak mendatangkan ancaman terhadap penduduk sekitar yang tinggal berdekatan dengan loji itu. - UTUSAN ONLINE