Peguam yang mewakili keluarga itu, Sankara N. Nair berkata, pakar patologi dan doktor telah mengadakan perbincangan dengan keluarga mangsa sebelum bedah siasat dilakukan.

"Proses bedah siasat dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian remaja itu. Terpulang kepada pakar patologi dan tidak ada jangka masa tertentu.

"Pada peringkat ini masih terlalu awal untuk menyatakan apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh keluarga. Ini kali pertama saya bertemu mereka dan sebelum ini hanya menerusi telefon," katanya ketika ditemui pemberita di HTJ di sini hari ini.

Beliau berkata, keluarga tersebut berada dalam keadaan sedih namun mengucapkan terima kasih kepada polis dan semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan itu.

Terdahulu, sepasukan pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur tiba di Jabatan Perubatan Forensik HTJ bagi proses bedah siasat kira-kira pukul 9 pagi.

Mayat Nora Anne ditemukan di kawasan hutan pada pukul 1.57 petang semalam selepas 10 hari hilang dari resort penginapannya dan keluarga di Pantai di sini.

Mayat tanpa pakaian dan masih dalam keadaan sempurna itu dijumpai pasukan pendaki yang terlibat dalam operasi SAR kira-kira 2.5 kilometer dari resort berkenaan.

Identiti mayat remaja lembam itu kemudian disahkan oleh ahli keluarganya yang membuat pengecaman di HTJ malam tadi. - UTUSAN ONLINE