Ketua Polis Daerah, Superitenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mayat Liew Chong Meng, 76, ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tertiarap di dalam parit itu pada pukul 2 petang.

Katanya, ketika dijumpai mangsa masih lengkap berpakaian namun mayatnya tidak sempurna dan berulat, dipercayai telah lama meninggal dunia.

“Penemuan mayat mangsa adalah hasil maklumat orang awam yang mendakwa menjumpai basikal berwarna merah milik lelaki yang dilaporkan hilang sejak 12 Mei lalu di dalam parit berkenaan.

“Gerakan mencari mangsa kemudiannya dijalankan sebelum lelaki itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di dalam parit. Kita percaya mangsa dihanyutkan air daripada tempat dia dipercayai terjatuh,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan luka di atas kepala lelaki itu dipercayai akibat terhantuk.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes setakat ini diklasifikasikan mati mengejut,” katanya. - UTUSAN ONLINE