Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku apabila mangsa, Dylan Bryan Richard Rockie, 21, bersama rakannya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Stella, Batu 12 Jalan Kuching-Serian.

Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum terbalik di sebelah kiri jalan sehingga menyebabkan pemandu terbabit tercampak keluar dari kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di kepala sebelum dikejarkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

“Rakan mangsa, lelaki berusia 22 tahun hanya mengalami luka di tangan kiri.

"Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," lapor Utusan Borneo hari ini.- UTUSAN ONLINE