Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang itu, mangsa, Muhammad Shakir Zufayri Ramli, 19, meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

“Mangsa yang bekerja sebagai kelindan van sedang menunggang motosikal Yamaha 125Z menghala ke Kuala Lumpur apabila sebuah kereta Honda City dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun memperlahankan kenderaannya di lorong kiri sebelum menghentikan kenderaan dan menghidupkan lampu kecemasan tanpa meletakkan sebarang papan tanda amaran.

“Dia yang tidak sempat mengelak terus merempuh bahagian belakang kereta itu dan tercampak ke lorong tengah sebelum dilanggar sebuah kereta Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Mohd. Zani, punca kematian mangsa masih belum diketahui dan masih menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan pihak Forensik PPUM.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE