Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika mangsa, Abu Safian Amri, 37, dalam perjalanan ke sebuah kilang membuat batu-bata selepas mengambil muatan pasir di atas bukit.

ARSHAD ABU
ARSHAD ABU 

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan dan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Jasin.

“Sebaik sahaja tiba di satu persimpangan atas bukit, lori dipandu mangsa tiba-tiba mengalami masalah brek dan hampir terbabas ke lereng bukit.

“Pemandunya segera melompat keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri, namun tayar lori berkenaan telah menggilis punggungnya. Mangsa patah kaki kanan dan mengalami kecederaan pada beberapa anggota badan, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arshad, mangsa ditemukan oleh rakannya yang memandu sebuah lori lain dan dalam perjalanan ke kilang yang sama.

Maut digilis lori sendiri

“Abang ipar mangsa berada di sisinya sewaktu dia dibawa ke hospital menaiki ambulans dan difahamkan si mati sempat meminta bantuan iparnya itu kerana kesakitan dialaminya,” katanya.

Kata Arshad, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE