Pengarah JKKP negeri, Ir Zamzurin Maarof berkata, siasatan pihaknya di lokasi kejadian turut mendapati majikan gagal dalam melakukan penaksiran risiko untuk kerja-kerja pemecahan, pengalihan dan pemindahan batu dari tapak kuari.

“Sehubungan itu, satu notis larangan dan tiga notis perbaikan telah dikeluarkan kepada pemilik kuari.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang pemandu jengkaut, Loi Thiam Fatt, 56, maut selepas dihempap bongkah batu ketika melakukan kerja di kuari berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukil 7.30 pagi, mangsa ditemukan tersepit dalam jengkaut tersebut selepas dihempap bongkah batu dianggarkan seberat 30 tan.

Dalam pada itu, Zamzurin berkata, pihaknya memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam kerana majikan mempunyai kawalan sepenuhnya atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

Menurut beliau, majikan bertanggungjawab ke atas pekerja dan sepatutnya melakukan analisis serta kawalan risiko keselamatan di tempat kerja terlebih dahulu bagi mengelak daripada sebarang insiden kemalangan.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya. - UTUSAN ONLINE