Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang menyebabkan dua daripada anggota tentera itu cedera di kaki manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kepala dan kaki dan kini dirawat di Hospital Tampin, Negeri Sembilan.

Kesemua anggota terbabit bersama dua pemandu yang tidak mengalami kecederaan merupakan anggota dari Cawangan Sumber Manusia di Markas Tentera Darat Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur ketika itu dalam perjalanan dari Kem Tentera Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan ke Putrajaya untuk persiapan sambutan Hari Kebangsaan ke-62.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya, kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan ketika menuruni laluan berbukit dipercayai disebabkan permukaan jalan licin semasa hujan lebat.

"Berikutan itu, kenderaan pengangkut tersebut terbabas lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri jalan sebelum terbalik di laluan bertentangan.

"Dua anggota berusia 33 dan 36 tahun cedera di kaki manakala seorang lagi berusia 36 tahun cedera di kepala dan kaki," katanya ketika ditemui di tempat kejadian lewat petang ini.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan sembilan buah KPKP membawa 12 kereta perisai ketika itu dalam perjalanan ke Putrajaya sebelum salah satu daripadanya terlibat dalam kemalangan itu.

Namun katanya, kereta perisai yang diangkut KPKP itu tidak mengalami kerosakan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE