Api marak dalam kejadian kebakaran membabitka dua lot kilang perabot di Jalan Industri, Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor semalam.

Mangsa, Tey Chee Yong,32, dipercayai telah terperangkap dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang yang memusnahkan keseluruhan bangunan kilang terbabit.

Kehilangan Chee Yong telah disedari pemilik kilang tersebut sebelum memaklumkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 2.22 pagi ini ketika proses pemadaman saki baki kebakaran dijalankan di situ.

Berikutan itu, Unit Anjing Pengesan (K9) telah dihantar ke lokasi kejadian oleh Pusat Gerakan Operasi JBPM, Selangor bagi mengesan mangsa yang terperangkap di dalam sisa kebakaran tersebut.

Bagaimanapun, tulang mangsa berjaya dikesan oleh anjing pengesan kira-kira pukul 8.20 pagi ini.

Susulan itu, pasukan forensik bomba kemudiannya dikerahkan ke lokasi sebelum tulang milik Chee Yong diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE