Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Abd. Rahman Md. Yusof yang memandu kereta jenis Proton Wira maut di Hospital Jempol semasa sedang menerima rawatan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, pemandu Nissan Frontier iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati Proton Wira itu dari arah Petronas Bandar Seri Jempol hendak keluar simpang dan menghala ke arah Ayer Hitam.

“Ketika kereta itu berhenti di persimpangan jalan, sebuah Nissan Frontier dari arah Bahau terbabas lalu melanggar sisi kanan Proton Wira dan seterusnya merempuh sedikit khemah warung yang berada di bahu jalan itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu Proton Wira berkenaan mengalami kecederaan dalaman dan dihantar ke Hospital Jempol.

Jelas beliau, siasatan lanjut kes kemalangan itu dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE