Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, mangsa, Jordan Low Han Zheng, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Superintenden Azman Shari’at berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Rush dipandu seorang wanita berusia 26 tahun dari arah USJ 4 hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

"Kereta Perodua Myvi dipandu mangsa yang berada di laluan tersebut tidak sempat mengelak dan bertembung dengan SUV berkenaan.

"Kereta dipandu mangsa kemudian turut merempuh sebuah lagi kenderaan di lorong tengah sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan yang berada di belakangnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azman, pemandu SUV tersebut hanya mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan saksi kejadian diminta untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis. - UTUSAN ONLINE