Mangsa, Muhammad Muqtadir Hamidon yang tersepit di tempat duduk pemandu kereta jenis Proton Wira cedera parah dan maut di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, lima anggota dihantar ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.49 pagi.

Katanya, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu mangsa dan sebuah van jenis Toyota Hiace yang membawa muatan santan.

“Seorang mangsa lelaki didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kereta Proton Wira itu dan dia disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Anggota segera mengeluarkan mangsa yang tersepit itu menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkan mayatnya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut Muhammad Asyraf, pemandu van berusia 36 tahun pula hanya cedera ringan dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan. - UTUSAN ONLINE