Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, polis dimaklumkan oleh pihak hospital pada pukul 3.30 petang bahawa seorang pesakit dirawat selepas disyaki meminum minuman mengandungi metanol beracun.

"Mangsa, Mohammad Salleh Ramesh Abdullah didapati tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan hasil temubual dengan doktor mendapati dia dijumpai oleh orang awam di tepi jalan di Kampung Paya di sini dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa telah dibawa oleh ambulans ke HPD dan pada masa ini berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, berdasarkan kad pengenalannya, mangsa beralamat di No. 163, Kampung Air Meleleh di sini, namun alamat tersebut sudah tidak wujud dan kawasan berkenaan telah dirobohkan.

Katanya, pihak polis meminta orang ramai yang mengenali mangsa atau warisnya supaya menghubungi pihak polis atau pihak HPD untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE