Semua pelajar tersebut merupakan mangsa terbaharu kes pencemaran toksik dan mereka menerima bantuan awal daripada pihak bomba dan pasukan perubatan di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih di sini.

Selain itu, pelajar yang mengalami masalah kesihatan yang serius dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

Seorang ibu mangsa, Zuraidah Sibok, 45, berkata, anaknya merupakan pelajar pertama dari sekolah tersebut yang dihantar untuk menerim rawatan kecemasan.

“Rumah saya berdekatan sekolah dan saya sejak pagi tadi tidak sedap hati kerana bunyi ambulan kerap lalu depan rumah menuju ke sekolah.

“Apabila suami saya ke sekolah, dimaklumkan anak saya, Nurulmaizura Azimah Mansor, 14, pengsan dan dihantar ke dewan untuk rawatan kecemasan,” katanya ditemui di dewan tersebut di sini sebentar tadi.

Seorang lagi ibu mangsa, Noratikah Daud, 47, berkata, anaknya, Affza Balqus Ahmad Sahrel, 14, turut pengsan semasa di sekolah.

“Apabila saya ke sekolah anak saya sudah tidak ada di sana, kemudian apabila ke dewan serbaguna juga tidak ada, saya tidak tahu di mana anak saya berada atau di mana dia dirawat,” katanya. - UTUSAN ONLINE