Dalam kejadian terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun tujuh bulan ditemukan maut selepas terjatuh daripada rumahnya di tingkat lapan di Villa Ketapang, Taman Nirwana, Ampang dekat sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa Muhammad Hadif Hadfi Mohd. Nazim ditemukan oleh orang ramai dalam keadaan menyayat hati iaitu tempurung kepalanya pecah dan otak bertaburan di tingkat bawah kondominium berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas kanak-kanak yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu ditinggalkan bersendirian oleh pembantu rumah yang menjaganya.

Beliau memberitahu, ketika kejadian, ibu bapa mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja masing-masing .

“Difahamkan, pembantu rumah yang berusia 45 tahun itu meninggalkan mangsa berseorangan ketika dia sedang tidur. Pembantu rumah warga Indonesia itu kemudian pergi kedai runcit berdekatan untuk membeli barang.

“Bagaimanapun, mangsa yang terjaga daripada tidur dikatakan mencari pembantu rumah berkenaan. Kanak-kanak itu membuka tingkap dan memanjat basikal yang terletak di luar balkoni namun mangsa terjatuh dan meninggal di tempat kejadian.

“Unit rumah yang didiami mangsa terletak di tingkat lapan iaitu merupakan penthouse. Keseluruhan tinggi bangunan adalah sembilan tingkat,” katanya di sini.

Tambah Khairuldin, berdasarkan keterangan pekedai berdekatan, pembantu rumah terbabit dikatakan ada datang ke kedai semasa kejadian berlaku.

“Pembantu rumah itu sudah empat tahun bekerja dengan majikannya dan kita kini sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejurus kejadian berlaku dan pemeriksaan patologi mengesahkan mangsa maut disebabkan kecederaan parah di leher dan kepala,” ujarnya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa hanya mahu dikenali sebagai Liza berkata, anak saudaranya itu memang seorang yang lasak dan diketahui selalu bangun tidur sekitar pukul 10 atau 11 pagi.

“Malah dia juga diajar untuk tidak bermain di balkoni kerana sering diingatkan tentang bahaya berada di situ.

“Saya mengetahui kejadian ini melalui adik ipar saya, Mohd. Nazim yang menghubungi dan memaklumkan perkara ini. Seluruh keluarga masih lagi trauma dengan apa yang berlaku terutama ibu bapa dan dua beradiknya yang lain,” ujarnya.