Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan udara kualiti udara di kawasan sekolah tersebut hari ini dan mendapati kualiti udara adalah normal.

“Pihak JAS negeri telah pergi ke sekolah dan kawasan penanaman cili tersebut bagi membuat pengukuran kualiti udara dan mendapati kualiti udara adalah normal serta tiada yang luar biasa.

“Siasatan kami juga mendapati tiada sebarang industri berhampiran sekolah kecuali ladang cili tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.10 tengah hari semalam seramai 24 murid SK Linggi mengalami loya dan muntah-muntah akibat terhidu racun serangga Malathion yang disembur di sebuah ladang cili yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah itu.

Kejadian itu mengakibatkan 12 daripada 24 murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital Port Dickson, manakala selebihnya dirawat di Klinik Kesihatan Linggi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Md. Fiah Md. Jamin ketika dihubungi berkata, SK Linggi masih ditutup untuk proses pembersihan oleh pihak bomba.

Katanya, langkah itu untuk memastikan persekitaran sekolah selamat untuk murid, guru dan kakitangannya. - UTUSAN ONLINE