Mangsa, Mat Isa Hamat, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam tragedi yang berlaku kira-kira pukul 4 petang itu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang memandu traktor tersebut menghala ke kebun durian melalui jalan berbukit.

Beliau memberitahu, setiba di lokasi kejadian traktor berkenaan dikatakan terbabas lalu terbalik sebelum menghempap mangsa di situ.

"Akibat dihempap, mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, anak mangsa, Mohd. Khairul Azuan, 33, berkata, bapanya keluar rumah dengan memandu traktor menuju ke kebun durian kira-kira pukul 9.30 pagi.

Bagaimanapun, dia agak curiga kerana sehingga Zohor bapanya masih tidak pulang kerana kebiasaannya mangsa akan kembali ke rumah sebelum menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid di kampungnya.

Risau berlaku perkara yang tidak diingini, seorang pekerja mangsa telah pergi sendiri ke kebun yang terketak kira-kira 4 kilometer dari rumah mangsa dan setiba di tempat kejadian, dia terkejut apabila mendapati traktor tersebut dalam keadaan terbalik.

Setelah diperiksa, dia mendapati mangsa berada di bawah traktor dipercayai dihempap kenderaan tersebut dan disahkan telah meninggal dunia.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan daripada bawah traktor tersebut kira-kira pukul 9 malam tadi untuk diserahkan kepada keluarga sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Oh, Jabi kira-kira pukul 10.30 pagi ini. - UTUSAN ONLINE