Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, pokok setinggi kira-kira 10 meter dengan anggaran saiz ukur lilit satu meter itu dipercayai tumbang ditiup angin kencang.

Jelas beliau, kejadian tersebut berlaku semasa hujan lebat dan orang ramai sedang menunaikan solat Asar di surau berkenaan.

"Pokok di hadapan surau itu tumbang dan menimpa bahagian bonet sebuah kereta Perodua Kancil. Kami tidak pasti jenis pokok yang tumbang itu.

"Kereta itu milik bilal surau, Salim Bakri, 71, dan pokok itu turut menghalang lalu lintas di hadapan surau berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Syazwan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 5.30 petang dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

Menurut beliau, seramai lapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dikerahkan ke surau itu bagi memberi bantuan.

Beliau memberitahu, pihaknya mengambil masa kurang 20 minit bagi menebang, mengalihkan dan membersihkan pokok itu menggunakan peralatan khas bomba. - UTUSAN ONLINE